Seperti yang sedia maklum, gejala merempit bukanlah sesuatu perkara yang baru dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Apa itu gejala merempit sebenarnya?
Definisi mat rempit mengikut Wikipedia ialah seseorang yang terlibat dengan aktiviti perlumbaan haram menggunakan motosikal. Manakala, minah rempit pula merujuk kepada perempuan yang terlibat dalam perlumbaan haram atau menjadi teman kepada mat rempit.
Dewasa ini, gejala merempit ini semakin melarat dan menjadi igauan pihak berkuasa tempatan. Statistik kemalangan jalan raya setiap tahun menunjukkan bahawa pembonceng motosikal sering mencatat jumlah kemalangan dan kematian yang paling tinggi jika dibandingkan dengan jenis-jenis kenderaan lain. Dan sebahagian daripada kemalangan tersebut adalah disebabkan oleh perlumbaan motosikal secara haram atau dikenali sebagai rempit.
Apabila difikirkan kembali, apakah punca sebenar yang menyumbang kepada peningkatan aktiviti merempit dalam kalangan remaja kini? Adakah ia disebabkan oleh faktor-faktor luaran atau faktor-faktor persendirian?
Antara punca yang dikenalpasti sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan jumlah mat rempit ialah kekurangan pengawasan pihak ibubapa sendiri. Ibubapa yang leka dan tidak memberi perhatian kepada aktiviti harian anak-anak mereka membolehkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam kegiatan perlumbaan haram. Kebanyakan mat rempit meloloskan diri dan berlumba pada waktu tengah malam atau awal pagi apabila ibubapa mereka lena tidur. Apa yang lebih membimbangkan adalah jumlah peserta perempuan dalam kegiatan lumba haram yang semakin meningkat. Ini jelas menunjukkan bahawa kekurangan seliaan ibubapa akan membolehkan anak-anak mereka terlibat dalam kegiatan haram yang sedemikian. Ibubapa seharusnya lebih tegas dengan kegiatan yang disertai oleh anak-anak mereka. Selain itu, mereka harus peka dengan siapa mereka bergaul dan juga kemana perginya mereka ketika diluar rumah. Ini bukanlah untuk mengongkong pergaulan atau aktiviti mereka. Tetapi, ini adalah untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tidak bermoral.
Kekurangan didikan agama juga boleh dikatakan sebagai salah satu punca semakin ramai remaja yang terjebak dalam kegiatan merempit ini. Adalah kemestian bahawa setiap agama menyuruh penganutnya untuk berbuat baik dan menjauhi perkara yang buruk. Akan tetapi, para remaja yang naïf kerana tidak menerima ajaran agama mudah terpesong dan terpengaruh untuk menyertai kegiatan yang tidak bermoral ini. Sekali lagi, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak-anak mereka menerima didikan agama dari umur yang muda lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya.”
Selain itu, punca yang turut menyumbang kepada gejala merempit ialah pengaruh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya memainkan peranan yang penting kerana remaja lebih mudah terpengaruh dengan sahabat sebaya dengan mereka. Sekiranya sahabat pergaulan juga terlibat dalam aktiviti merempit, ini akan mempengaruhi remaja-remaja lain untuk turut menyertainya. Perkara ini sering disebut-sebut setiap kali membincangkan isu-isu masalah sosial kerana remaja perlu mengetahui kepentingan pengaruh rakan dalam membuat sebarang keputusan. Oleh itu, para remaja perlu berwaspada dengan pilihan rakan-rakan kerana ia boleh mempengaruhi cara pemikiran, pergaulan dan kebolehan membuat keputusan mereka.
Pihak media juga memainkan peranan yang penting dalam mendidik generasi muda untuk menjauhi gejala-gejala sosial yang semakin berleluasa ini. Drama-drama dan juga filem-filem yang berunsurkan perlumbaan haram dan mengandungi unsur-unsur gejala sosial perlu dihentikan ataupun diselia tayangannya supaya tidak mempengaruhi para penonton untuk meniru aksi yang dipersembahkan. Ini kerana media elektronik merupakan media yang paling popular dikalangan para remaja dan senang menarik perhatian penontonnya. Sekiranya contoh yang baik tidak dapat ditonjolkan didalam filem atau drama tersebut, ia hanya akan meninggalkan impak negatif kepada penonton. Tidak dapat dinafikan bahawa adalah menjadi tanggungjawab remaja itu sendiri untuk membuat keputusan mengenai perkara apa yang baik dan perkara apa yang buruk. Walau bagaimanapun, adalah mustahil untuk membuat tanggapan bahawa semua remaja memiliki kematangan dari segi pemikiran untuk membuat keputusan tersebut. Ini juga adalah antara faktor yang dikenalpasti yang sering membawa kepada penglibatan generasi muda dalam gejala sosial.
Merempit
Sunday, October 3, 2010
Posted by
SoSial Dilemma
at
5:24 PM
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment